Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Isnin, Mac 17, 2008

Fiesta Muzika

Baharu sahaja balik dari UniMAP.Perjalanan yang begitu memenatkan.12 jam duduk di dalam bas sedari Kangar sampai ke Gambang.Namun,apalah sangat kepenatan duduk di dalam bas,kalau hendak dibandingkan dengan memori-memori yang dikutip sepanjang fiesta Muzika ini berlangsung.

Kumpulan Orkestra yang diwakili oleh ahli seramai 15 orang termasuk dua orang penyanyi berbakat UMP telah membuka tirai fiesta dengan mempertaruhkan lagu instrumental ciptaan mereka sendiri iaitu "de' Sky".Selepas itu disusuli pula lagu wajib mereka iaitu "Mestika" dendangan asal oleh M.Nasir.Nizam,daripada Kumpulan Koir Solid Harmonie membawakan lagu ini dengan baik.Tetapi,mungkin pengalaman pertamanya berada di atas pentas secara solo kot,dia agak kaku.Pulak tu,sempat tanya kat budak orkestra akan tajuk lagu dia.Gementar punya pasal.Selesai Nizam menyanyikan lagu Mestika,kemudian disusuli pula Ila juga daripada Kumpulan Koir Solid Harmonie mendendangkan lagu "Sinaran" nyanyian asal oleh Sheila Majid.Tetapi,Ila membuat sedikit "twist" dengan menyanyikan lagu ini dengan irama retro-rock.Persembahan cukup menghiburkan,alunan vokal pun baik,cuma kalau diberi peluang untuk mengasah betul-betul bakat yang dimiliki,nescaya Ila mampu untuk membuat satu persembahan yang lebih mantap.Secara keseluruhannya,saya boleh katakan bahawa persembahan Kumpulan Orkestra atau Orquestra(maaf kalau tersilap eja) pada petang itu tidak menghampakan penonton.Lebih-lebih lagi apabila Arvin muncul dengan gimiknya yang begitu mencuit hati.Walaubagaimanapun,kita tetap akur dengan keputusan juri kerana mereka lebih arif akan selok belok dunia seni muzik ini.

Barisan juri pada Fiesta Muzika pada kali ini terdiri daripada Man Kidal,Ramli Sarip dan Dato' Mukhzani selaku ketua juri.

Johan: Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Naib Johan : Universiti Sains Malaysia
Tempat Ketiga : Universiti Sains Islam Malaysia
Persembahan Terbaik: Universiti Sains Malaysia

Rabu, Mac 12, 2008

Episod Sebuah Perjuangan II

Hari ini merupakan hari terakhir kumpulan Orkestra berlatih di Wisma Belia di bawah seorang yang begitu arif dalam seni muzik iaitu Encik Indra.Malam kelak kumpulan Orkestra akan bertolak ke UNIMAP untuk memperjuangkan nasib mereka dalam Festival Muzika yang bakal memperlihatkan kehebatan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia dari segi seni muzik dan seni suara.Saban malam mereka berlatih dengan begitu komited dan bersungguh-sungguh.Walaupun penat dan terpaksa balik ke kampus pada lewat malam,tetapi semangat juang yang terpancar di muka setiap ahli-ahli kumpulan ini sudah cukup membuatkan saya berasa begitu kagum.Bayangkanlah,membahagikan masa untuk belajar dan minat..pulak tu subjek-subjek kejuruteraan.Semoga segala penat lelah belatih tanpa jemu itu akan membuahkan hasil.

Itu cerita kumpulan Orkestra dan Solid Harmonie.Kumpulan Kencana Pawana pula bagaimana?Mesti kalian ingin tahu mengapa mereka begitu bersungguh-sungguh untuk berlatih,bukan?Tunggulah masa dan tempat yang sesuai,akan saya beritahu kelak.Apa makna di sebalik kesungguhan mereka ini.Masuk hari ini,sudah hampir seminggu mereka berlatih di Wisma Belia.Sampai ke detik ini,lagu zapin hampir separuh siap bunga dan pola lantainya.Yang tinggal cuma untuk joget dan tarian kreatif.Bagi yang pernah menari atau melihat orang menari tu,tentu kalian dapat mengagak motif perjuangan ahli kumpulan kencana pawana ini.

Tentang tarian.Banyak orang ataupun sahabat-sahabat kita yang masih belum mengenali tarian,atau yang tahu tetapi buat-buat tidak tahu perihal tarian,tentu mereka melabelkan tarian sebagai hal-hal kaum hawa.Yang lebih teruk lagi,penari-penari dilabelkan sebagai....
kalian tahu sendiri apa yang cuba saya maksudkan.Namun,apa yang sahabat-sahabat kita gagal lihat ialah apa tujuan tarian itu dibuat.Contohnya,ada sesetengah tarian itu,bermaksud si teruna hendak mengorat si dara.Lagi pula tarian Zapin pada masa dahulu digunakan untuk berdakwah.Bukan niat hendak memperbetulkan pendapat mana-mana pihak.Tetapi,sekadar memberi tahu akan hal yang betul.

Kebetulan pulak ada di antara ahli kumpulan yang menyambut hari lahirnya.Kepada yan berkenaan,bagi pihak Kelab Kebudayaan,saya ucapkan semoga anda panjang umur dan murah rezeki.Semoga kesetiaan kepada kelab akan bertambah-tambah lepas ini..Baiklah,rasanya sudah cukup sampai di sini dulu untuk kali ini.

Jumaat, Mac 07, 2008

Mac : Episod sebuah perjuangan

Sedar tak sedar, kita kini telah pun memasuki bulan ketiga dalam tahun 2008.Walaupun banyak yang telah kita perolehi sepanjang 2007 berlangsung,namun di tahun ini kita harus berusaha dengan lebih kuat lagi agar kelab yang kita sayangi ini terus-terusan menjadi antara kelab yang disegani baik dalam mahupun di luar kampus. Walaupun Festival Teater Makum 2007 telah pun berakhir,namun semangat untuk terus bertanding masih belum terpadam pada sesetengah hati. Bulan Mac ini pastinya akan menjanjikan sesuatu yang sekali lagi bakal melonjakkan nama Universiti Malaysia Pahang amnya,dan nama kelab khususnya.

Apakah sesuatu yang dijanjikan itu?Sama-samalah kita tunggu dan pesanan saya,sentiasalah "keep-in-touch" dengan blog kelab kesayangan kita ini.Saya akui,kalau hendak dibandingkan dengan kelab kebudayaan dan kesenian di universiti-universiti lain,kelab yang kita sayangi ini masih jauh di belakang.Namun,berbekalkan semangat yang kita ada,sedari majlis tertinggi yang pertama hingga kini,kita mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan universiti-univesiti lain di luar sana.Kemunculan kita di mana-mana pertandingan tidak lagi dipandang enteng oleh mereka.Kerana mereka tahu dan sedar akan kemampuan kita.

Untuk Kumpulan Tarian Kencana Pawana dan Kumpulan Orchestra,doa saya dan semua yang menjadi ahli kelab ini sentiasa bersama anda.Setiap waktu yang kalian korbankan ini pasti akan menjanjikan sesuatu kelak.Menutup entri pada kali ini,saya sertakan sedikit foto untuk tatapan kalian.

"agi idup,agi ngelaban"

Kencana Pawana: Makan Malam Konvokesyen ke-2 UMP

Kumpulan Tarian Kencana Pawana telah dijemput untuk mengadakan persembahan sempena Makan Malam Konvokesyen ke-2 UMP bertempat di Hyatt Regency Kuantan Resort Hotel. Majlis telah diadakan pada 30 November 2007 dan dihadiri Tuanku Canselor Tengku Mahkota Pahang dan Naib Canselor UMP. Kumpulan ini telah mendapat bimbingan En. Nizam dari Wisma Belia Pahang.

Kompang Paluan Baidura Mengiringi NC ke ExpoConvo'07

Pada 2 Disember 2007 yang lalu, berlangsungnya perasmian Expoconvo'07 di pusat membeli-belah Kuantan Parade. Majlis telah dirasmikan oleh YH Prof. Dato' Dr. Mohamed Said Bin Mat Lela, Naib Canselor UMP. Kumpulan Kompang Paluan Baidura telah dijemput untuk mengiringi sambutan YH Dato' ke ExpoConvo'07 tersebut.

Perhimpunan Siswa Merdeka MAKUM & KeKKWa 2006

Berikutan sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos 2006, pihak Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia (KeKKWa) telah mengambil inisiatif bagi mengadakan program sambutan kemerdekaan oleh mahasiswa-mahasiswi institusi pengajian tinggi. Kesemua IPTA telah mengambil bahagian dalam menjayakan program ini.
Universiti Malaysia Pahang (dahulunya KUKTEM) turut menghantar sebanyak 90 peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP. Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia.

Annual Dinner Kelab Kebudayaan & Kesenian 2007

Buat julung kalinya Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP berjaya mengadakan Majlis Makan Malam di Mega View Hotel pada 8 April 2007. Walaupun sambutan daripada ahli yang tidak begitu memberangsangkan, majlis tetap berjalan dengan meriah dan menarik sekali. Ini adalah titik permulaan bagi mengadakan program sebegini dan diharap di masa akan datang program ini lebih baik daripada sebelumnya. Turut hadir Penasihat Kelab, En. Abdullah Fairuzullah atau lebih dikenali lagi sebagai Abg Dollah dan mantan Majlis Tertinggi Kelab Kebudayaan & Kesenian sesi 05/06.

Rakan Muda Wawasan Desa di Kuala Medang

Program anak angkat (Rakan Muda Wawasan Desa) dengan kerjasama Majlis Tertinggi Kelab Kebudayaan & Kesenian sesi 06/07 telah berjaya diadakan pada 4 hingga 7 Mei 2007 yang lalu bertempat di Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis. Peserta terdiri daripada ahli Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP dan Sekretariat Rakan Muda.

Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti melawat kebun buah salak, bergotong-royong, sukaneka bersama penduduk kampung, ceramah agama oleh Ustaz Zuridan di masjid kampung dan fasilitator pelajar UPSR di sekolah rendah kampung tersebut.

Festival Zapin MAKUM 2007

Festival Zapin MAKUM 2007 telah diadakan pada 8-9 September 2007 yang lalu di Universiti Teknologi Malaysia. Sebanyak 10 buah universiti mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. UMP buat julung kalinya menyertai festival tersebut dan telah berjaya meraih anugerah perdana walaupun tidak mempunyai jurulatih yang tetap. Tahniah dan teruskan memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman.

Khamis, Mac 06, 2008

Koir Solid Harmonie: Konvokesyen ke-2

Pada 2 Disember 2007 (Ahad) yang lepas, Kumpulan Koir Solid Harmonie UMP telah berjaya mengadakan persembahan di ExpoConvo'07 di pusat membeli-belah Kuantan Parade. Kumpulan ini juga mendapat bimbingan daripada jurulatih muzik luar.

Orkestra UMP: Makan Malam sempena Konvokesyen ke-2 UMP

Pada 30 November 2007 di Hyatt Regency Kuantan Resort Hotel berlangsungnya Majlis Makan Malam sempena Konvokesyen ke-2 UMP. Turut hadir, Tuanku Canselor Tengku Mahkota Pahang dan Naib Chanselor UMP.

Kumpulan Orkestra UMP ini telah dijemput untuk memeriahkan suasana pada malam tersebut. Kumpulan ini mendapat bimbingan daripada jurulatih muzik Wisma Belia iaitu En.Indra.

Gamelan di Konvokesyen ke-2 UMP

Pada 1 Disember 2007, telah berlangsung majlis kemuncak bagi setiap penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi iaitu Majlis Konvokesyen ke-2 UMP. Dengan kehadiran Yang Mulia Tengku Mahkota Pahang, Chanselor Universiti Malaysia Pahang, majlis dilaksanakan dengan penuh adat istiadat.

Tidak ketinggalan, kumpulan Gamelan Astana Sukma UMP turut sama menghidupkan suasana di Majlis Konvokesyen di Dewan Jubli Perak, Kuantan tersebut.

Kumpulan Tarian Kencana Pawana: Persembahan sempena Debat Perpaduan IPTA

Universiti Malaysia Pahang telah diberikan mandat untuk menjadi tuan rumah Pertandingan Debat Perpaduan dan Integrasi antara IPTA. Pada 10 Disember 2007 yang lalu, berlangsung majlis pertandingan akhir debat tersebut di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang.

Kumpulan Tarian Kencana Pawana telah dijemput untuk membuat persembahan pada malam tersebut. Mereka telah membawa tarian campuran Zapin pekan, pekajang dan kores. Turut hadir Menteri Besar Pahang dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang.

Kumpulan Teater Senandika: Masuk akhbar?

Sinar Harian bertarikh 10 Februari 2008 (Ahad)

Ruangan Bintang@Pahang

Kumpulan Teater Senandika Universiti Malaysia Pahang sekali lagi mencatat sejarah apabila mereka berjaya mendapat tempat ke-7 (yang pertama daripada universiti-universiti teknikal) daripada 16 buah universiti yang bertanding dalam Festival Teater MAKUM 2007 dengan membawa teater 'Pusaka Sari'. Selain itu, salah seorang daripada pelakon 'Pusaka Sari' iaitu Nurul Fazirah Bt Ghazali juga telah memenangi Anugerah Pelakon Harapan.

Tahniah dan teruskan usaha anda.