Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Khamis, April 17, 2008

Seminar Penerangan, Pengulasan & Demonstrasi PSSCM


Antara yang terlibat


Sesi Demonstrasi

Tanggal 12 & 13 april 2008 yang lalu, kumpulan Silat Cekak dengan jayanya telah menganjurkan program Kursus Penerangan, Pengulasan dan Demonstrasi PLBC peringkat zon timur, peserta yang terlibat antara lain ialah AJK dan skuad demonstrasi seni silat cekak cawangan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakan dan peserta yang terlibat dianggarkan 80 orang termasuk wakil daripada PSSCM UITM Jengka, PSSCM UNITEN Muadzam dan PSSCM KPM.

Objektif program adalah melahirkan pegawai penerangan dan pengulasan yang berwibawa dan mewujudkan sistem dan kaedah demonstrasi yang seragam di semua cawangan PSSCM seluruh Malaysia.

Kumpulan silat cekak bersyukur majlis tersebut berjalan dengan jayanya, meletihkan, tetapi kepuasan adalah jawapan bagi penat lelah ajk – ajk yang terlibat.

Program ini bukan sahaja mampu mengeratkan silaturrahim di antara mahasiswa IPTA Pahang, PSSCM Terengganu dan Kelantan bahkan sebagai salah satu medium bagi meneruskan warisan seni Melayu untuk generasi masa hadapan.

Ucapan Penutup

kelolaan Kumpulan PSSCM UMP

Solid Harmonie penyeri " PERKASA-Industrial Talk 2008 "



Setelah membuat persembahan yang begitu mantap pada Pertandingan Peringkat Akhir Debat Piala Naib Canselor-2008 yang lalu, Kumpulan Koir Solid Harmonie mendapat undangan lagi untuk mengadakan persembahan di majlis ilmiah di sekitar UMP. Terbaru, Solid Harmonie telah menyerikan program PERKASA-Industrial Talk 2008 yang baru selesai petang tadi.



Persembahan tersebut telah Berjaya dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Dewan Kuliah Utama 1. Memandangkan program tersebut adalah berbentuk akademik, persembahan adalah agak ringkas yang hanya diselitkan dengan beberapa pergerakan ringkas. Lagu yang telah dipersembahkan adalah lagu-lagu patriotic. Pada persembahan kali ini, majoriti yang terlibat adalah ahli-ahli baru Solid Harmonie yang mana terdiri daripada 18 orang ahli.



Gabungan Mantap Solid Harmonie & Orchestra



Sempena Debat Piala Naib Canselor-2008 Peringkat Akhir yang berlangsung 28 Mac yang lalu, Kumpulan Koir Solid Harmonie UMP bersama Kumpulan Orchestra UMP telah dijemput untuk menyerikan lagi majlis pada malam tersebut. Persembahan tersebut telah berlangsung di Astaka UMP.

Persembahan ini merupakan antara persembahan terbail kedua-dua kumpulan setelah sekian lama menyepi. Seramai 12 orang dari Kumpulan Koir Solid Harmonie dan 10 orang dari Kumpulan Orchestra UMP telah bergabung menjayakan persembahan padamalam tersebut.

Antara lagu yang disampaikan adalah Negaraku, Maju Gemilang (lagu rasmi UMP) dan juga lagu rasmi negeri Pahang pada pembukaan majlis. Pada pertengahan majlis, lagu yang disampaikan adlaah Sinaran, Pandang-pandang Jeling-jeling dan Mustika. Sebagai penutup tirai majlis pada malam tersebut, lagu Gemilang dan Nyalakan Tekad menjadi buah tangan untuk para tetamu.



Jumaat, April 11, 2008

Di Pentas Jurutera : Misi



Misi. Malam Rabu lalu bertarikh 9 April 2008, Kumpulan Teater Senandika telahpun berjaya mementaskan teater yang bertajuk Misi. Sesuailah dengan tajuknya, pementasan teater ini di UMP saya katatan umpama misi kita untuk melihat sejauh mana penonton UMP menilai dan menghargai seni dalam berteater. Tambahan pula, majoriti daripada khalayak pada malam itu terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi yang mengambil subjek "Critical Thinking".

Siapa kata Astaka tidak mampu mementaskan sebuah teater hebat karya Faisal Tehrani? Rata-rata yang datang menyaksikan teater ini pada malam itu kagum dan memuji kebijaksanaan krew produksi untuk menghasilkan sesuatu yang hebat tanpa memikirkan kekangan-kekangan yang ada di bumi UMP ini. Sampaikan ada yang mengatakan bahawa dia tidak menyangka yang krew produksi mampu untuk melakukan kerja sebaik ini. Tahniah untuk kalian semua. Pentas Astaka memang dilimpahi cahaya bak kata Saudara Azlan dalam memonya. Memang rugi rasanya kepada mana-mana individu yang terlepas peluang untuk menyaksikannya.

Kalau mahu mengupas tentang jalan cerita mahupun memberi ulasan tentang lakonan pada malam itu, mungkin saya kurang arif. Tetapi, bagi saya keberanian adik junior untuk meggalas watak yang berat seperti Engku Daffa dan Azman wajar diberikan pujian. Kerana kedua-dua mereka masih mentah dalam dunia seni lakon dan bukannya mengambil jurusan seni persembahan. Kalau dah dinamakan minat, jurutera pun boleh berlakon. Jurutera pun boleh berteater.

Selasa, April 01, 2008

Siapa kata "Engineers Can't Dance"?




Tanggal 30 Mac 2008, Universiti Malaysia Pahang telah berjaya mencatat sejarah dengan memenangi Anugerah Koreografer Tarian Kreatif Tradisional Terbaik di Festival Tari MAKUM 2008 yang berlangsung dari 28 Mac 2008 hingga 30 Mac 2008 di Universiti Malaysia Sarawak baru-baru ini. Selain itu, Universiti Malaysia Pahang juga mendapat tempat ke-6 daripada 15 buah universiti yang bertanding. Penyertaan ini adalah penyertaan sulung Kumpulan Tarian Kencana Pawana Universiti Malaysia Pahang.

Kumpulan ini telah mendapat bimbingan koreografer Encik Shahrul Nizam Bin Othman dari Kumpulan Kesenian Negeri Pahang. Kumpulan ini telah membawa Tarian Zapin Pekan, Joget Pahang dan Tarian Kreatif yang berjudul Pencarian. Berikut adalah keputusan Festival Tari MAKUM 2008:

Anugerah Koreografer Kreatif Terbaik : Universiti Malaysia Pahang
Anugerah Koreografer Rampaian Asli Terbaik : Universiti Malaysia Sabah
Anugerah Kostum Kreatif Terbaik : Universiti Sains Islam Malaysia
Anugerah Kostum Rampaian Asli Terbaik: Universiti Malaysia Sarawak
Anugerah Kategori Kreatif Terbaik: Universiti Malaya
Anugerah Kategori Rampaian Asli Terbaik: Universiti Putra Malaysia

Tempat Ketiga: Universiti Putra Malaysia
Tempat Kedua: Universiti Malaysia Sarawak
Tempat Pertama: Universiti Malaya




Rampaian Tradisional


"Pencarian"


Syabas dan tahniah kepada Kumpulan Tarian Kencana Pawana Universiti Malaysia Pahang di atas kejayaan yang telah dicapai. Diharap dengan kejayaan ini dapat memberi dorongan kepada kita semua untuk lebih berdaya saing dan maju dalam bidang seni ini walaupun kita mengambil jurusan kejuruteraan di UMP.