Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Isnin, Jun 30, 2008

Koir Solid Harmonie & Drama Senandika: MAJLIS PELANCARAN SUKAN UNIVERSITI ASEAN 2008

Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah diberi kepercayaan untuk menguruskan Majlis Pelancaran Maskot, Logo & Lagu Sukan Universiti ASEAN 2008 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) yang telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Jun 2008 di Hotel Pan Pacific, KLIA. Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi YAB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Selain itu, di majlis tersebut juga telah diperdengarkan buat pertama kalinya Lagu Tema Sukan Universiti Asia 2008 'Menggapai Bintang' hasil ciptaan En .Mohd Zaki Bin Ahmad, Penolong Pendaftar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP dan liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya (TV3). Lagu tersebut dinyanyikan oleh Eja, Finalis Bintang RTM 2004 dan diiringi oleh Kumpulan Koir Solid Harmonie UMP. Beberapa ahli Drama Senandika turut hadir memberi kerjasama kepada pihak En.Zaki.

Isnin, Jun 23, 2008

CitraWarna Malaysia 2008

Sejurus selepas Bengkel Tarian anjuran Unit Seni & Budaya JHEPA UMP, kumpulan Tarian Kencana Pawana di bawah Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP telah dijemput oleh Wisma Belia Pahang untuk menyertai dan menjayakan CitraWarna Malaysia 2008 bertempat di Putrajaya pada 24 Mei 2008 yang lepas.

Hubungan yang baik dan akrab antara pihak UMP, Wisma Belia Pahang dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia yang telah terjalin ini diharap dapat diteruskan dengan lebih erat lagi pada masa hadapan. Kepada para peserta yang telah mengambil bahagian, pengalaman yang telah ditimba jangan disia-siakan agar dapat dimanfaatkan kelak di masa hadapan.

CitraWarna Malaysia 2008 kali ini juga telah mendapat liputan secara langsung dari putrajaya melalui RTM1 pada jam 8.30 malam 24 Mei 2008 yang lalu. Program ini telah dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah. Turut hadir, Menteri Pelancongan Y.B. Dato' Sri Azalina Bt Dato' Othman Said dan Timbalan Perdana Menteri Y.A.B. Dato' Sri Hj Mohd. Najib Bin Tun Hj Abdul Razak.

"Senikan Caramu, Budayakan Hidupmu"

Selasa, Jun 17, 2008

Unit Seni & Budaya:Bengkel Gamelan, Orkestra dan Tarian

Pada 5 hingga 11 Mei 2008 yang lepas, ahli-ahli Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP di bawah kumpulan gamelan, orkestra dan tarian telah menghadiri satu bengkel anjuran Unit Seni & Budaya JHEPA UMP. Bengkel gamelan telah diadakan di Unit Seni & Budaya UMP manakala bengkel orkestra dan tarian telah diadakan di Wisma Belia Pahang.

Bengkel ini merupakan bengkel asas dan pemantapan kemahiran ahli-ahli kumpulan yang terlibat. Selain itu, ini juga adalah sebagai persediaan bagi program-program yang bakal dijalankan pada semester hadapan seperti Majlis Graduasi, ExpoConvo'08 dan Malam Inspirasi Seni 2008.

Diharapkan kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari demi kebaikan pada masa hadapan agar budaya dan seni berjaya dimartabatkan di Bumi Universiti Malaysia Pahang dan negara amnya.