Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Sabtu, Februari 21, 2009

Sepintas Lalu

MAJLIS KEBUDAYAAN UNIVERSITI-UNIVERSITI MALAYSIA (MAKUM)

Latar belakang
  • Ditubuhkan di bawah naungan Jawatankuasa Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib canselor / Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti-Universiti Malaysia.
  • Ditubuhkan pada 11 Februari 1993 berlandaskan kesedaran untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh universiti-universiti berhubung dengan hal-ehwal kebudayaan.
  • Pada awal penubuhan majlis ini dianggotai oleh lima (5) buah universiti sahaja iaitu ;
  1. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  2. Universiti Malaya (UM)
  3. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  4. Universiti Putra Malaysia (UPM)
  5. Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • Kini ia dianggotai oleh dua puluh (20) Universiti.
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merupakan Pengerusi MAKUM bagi sesi 2009/2010 dan Timbalan Pengerusi pula disandang oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
*Pengerusi Sekretariat digilirkan antara setiap dua (2) tahun sekali.
  • Dasar MAKUM : menasihat, memimpin, menyelaras dan memantau perkara-perkara mengenai kebudayaan di institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertunjangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
  • MAKUM juga bekerjasama membantu Kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) bagi mencapai matlamatnya, iaitu melahirkan masyarakat yang bertamadun, beradab dan berbudaya Timur.
Objektif penubuhan MAKUM

Antara objektif MAKUM ditubuhkan ialah untuk:

  1. Mengembangkan seni dan budaya melalui penyelidikan, latihan, Festival, pertandingan, seminar, lawatan kebudayaan dan menyokong dalam menyediakan kemudahan yang lengkap bagi kepentingan aktiviti seni budaya di kalangan mahasiswa IPTA.
  2. Merancang dan menyelaras perlaksanaan aktiviti seni dan budaya mahasiswa di IPTA.
  3. Memberi nasihat dan panduan kepada Persatuan, Kelab atau lain-lain badan Kebudayaan dan kesenian di IPTA.
  4. Menggalakkan penyertaan dan penglibatan mahasiswa berbilang kaum dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian di IPTA yang secara langsung dapat mewujudkan integrasi nasional.
  5. Mengadakan jaringan kerjasama dalam bidang seni dan budaya dengan Agensi Berkaitan kebudayaan dan kesenian.

Selasa, Februari 17, 2009

JUARA...

Program : Pertandingan Akhir Debat Piala Naib Canselor 2009
Tarikh : 15 Februari 2009
Tempat : Astaka UMP

JUARA.. Itulah yang dapat digambarkan untuk pasukan debat KKK yang meraih kejayaan dengan mengalahkan pasukan Umum 2 pada pertandingan akhir Debat Piala Naib Canselor 2009 yang bertempat di astaka. Usul perdebatan pada malam itu ialah ‘UMP perlukan perubahan’ dengan pasukan KKK sebagai kerajaan. Usul tersebut diterima dengan juri 9-2 dan margin 3.22. Lebih manis lagi, saudara Yusrie telah mendapat anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan (Liga) dan saudara Jumain pula telah mendapat anugerah Pendebat Terbaik (Akhir).

Antara penyokong KKK yang hadir.

Syabas!

Melalui kemenangan tersebut, saudara Jumain, Yusrie, Iqram dan Tito telah pun membuktikan bahawa Kelab Kebudayaan & Kesenian juga tidak kurang hebatnya dalam arena perdebatan ini. Semoga dengan kejayaan ini, nama kelab kesayangan kita ini akan harum semerbak dan disegani oleh semua warga UMP sebagai kelab yang serba boleh dalam apa jua bidang sekali pun. Tahniah sekali lagi kepada pasukan debat Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP.

Tidak ketinggalan juga persembahan dari ahli kelab kita yang mempersembahkan tarian Zapin Ghalit oleh Kumpulan Tarian Kencana Pawana, tiga buah lagu koir oleh Kumpulan Koir Solid Harmonie, persembahan Silat Seni Gayong dan kumpulan Kompang Paluan Baidura yang menyambut kedatangan VIP pada malam tersebut iaitu Dekan JHEPA, Prof Dr Abd Jalil Bin Borham.

“Senikan Caramu, Budayakan Hidupmu”

Selasa, Februari 10, 2009

Dari UPM ke UMP

Tanggal 25 Januari yang lalu, serombongan penari dan seorang pegawai pengiring dari Kelab Senitari Adimastuli Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berkunjung ke sini dengan tujuan untuk berkongsi ilmu dan tarian dengan ahli kumpulan Tarian Kencana Pawana UMP.

Bertempat di astaka, terdapat dua sesi yang telah diaturkan iaitu pada sesi pagi, penari dari Kelab Senitari Adimastuli UPM melatih tarian Zapin Ghalit kepada ahli kumpulan tarian UMP manakala pada sesi petang, wakil dari koreografer SUK iaitu Abang Nizam serta Kak Su pula, mengendalikan tarian Zapin Pekan.

Kenangan bersama penari Kelab Senitari Adimastuli UPM

Program pada hari ahad itu diserikan lagi dengan kehadiran Pegawai Kebudayaan UMP iaitu Encik Mohd Zaki Bin Ahmad serta Encik Norazman Bin Ismail. Tepat pukul 4.30 petang, rombongan kumpulan tarian UPM itu bergerak pulang ke penginapan sementara di Kuantan untuk menyambung kembali program mereka di negeri Pahang.

Biarpun masa bersama dengan kumpulan tarian UPM agak singkat, tetapi ilmu-ilmu yang diperolehi sangat dihargai oleh semua ahli kumpulan Tarian Kencana Pawana UMP dalam mencari seberapa banyak ilmu dan pengalaman di dalam bidang tari-menari ini. Diharap program sebegini dapat diteruskan dan di ambil sebagai titik tolak kepada kumpulan-kumpulan lain dalam mengejar ilmu budaya dan kesenian yang menjadi nadi kepada Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP.

“Senikan Caramu, Budayakan Hidupmu”

Isnin, Februari 02, 2009

Malam Asimilasi MINDS 2009

Assalamualaikum & Salam sejahtera. Sebelum papan kekunci ini menari dengan lebih rancak lagi, penulis ingin meminta maaf atas kelewatan blog ini dikemaskini atas sedikit permasalahan dan dari pihak MT 08/09, kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada ahli-ahli kelab yang menyambutnya. Gong Xi Fa Chai.

Bertempat di WDKU 1 pada 14 Januari yang lalu, pihak kelab telah diberi mandat oleh pihak Universiti untuk membuat satu persembahan iaitu Malam Asimilasi MINDS International Student 2009 yang mana untuk memperkenalkan budaya dan kesenian yang ada di negeri Pahang ini kepada 43 orang pelajar sulung antarabangsa dari negara Tembok Besar China. Biarpun masa persiapan untuk malam tersebut agak singkat, tetapi dengan usaha dan semangat yang tinggi, majlis pada malam tersebut berjalan dengan lancar dan malam asimilasi ini merupakan majlis pertama kelab untuk tahun baru ini.

Kumpulan Tarian Kencana Pawana


Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia

Semua kumpulan telah membuat persembahan yang menarik seperti kumpulan Gamelan Astana Sukma dan dua persembahan tarian oleh kumpulan Tarian Kencana Pawana dengan tarian Overture dan tarian Sewang. Selain itu, kumpulan Kompang Paluan Baidura dan kumpulan Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) mempersembahkan persembahan ketika menyambut kedatangan VIP dan pelajar-pelajar China di ruang legar blok W.

Kumpulan Nasyid Imtiyaz

Kumpulan Koir Solid Harmonie pula mendendangkan tiga buah lagu iaitu My All, Hampir Ke Situ dan Dirgahayu Tanah Airku. Keseronokan yang dirasai oleh pelajar-pelajar China pada malam tersebut diteruskan oleh kumpulan Nasyid Imtiyaz yang mendendangkan lagu Hakikat, Last Breath, Ching Ai Ching Ai dan persembahan perkusi nasyid yang mengasyikkan. Persembahan oleh kumpulan Orquesta yang diketuai oleh saudara Muhammad Firdaus Bin Haron juga tidak kurang hebatnya. Lagu My Heart, Sarabande, Super Mario, Pandang Pandang Jeling Jeling dan Beautiful Girl menjadi pilihan kumpulan tersebut.

Kumpulan Koir Solid Harmonie

Kumpulan Gamelan Astana Sukma

Malam tersebut juga diwarnai dengan Tarian India dan Fan Dance serta Peacock Dance oleh ahli Jawatankuasa Kebudayaan Cina dan Jawatankuasa Kebudayaan India. Dua orang wakil dari pelajar China juga menyerikan majlis dengan membuat persembahan berbentuk nyanyian yang diiringi oleh muzik gitar. Majlis pada malam itu ditutup dengan tarian Joget Pahang beramai-ramai yang disertai oleh pelajar-pelajar China dan semua peserta-peserta. Semoga dengan majlis tersebut, dapatlah kita memperkenalkan serba sikit budaya dan kesenian yang ada di Malaysia ini kepada pelajar-pelajar antarabangsa kita yang mana keunikannya tidak dapat disaksikan atau dirasai seantero dunia.

Akhir Bicara,
"Senikan Caramu, Budayakan Hidupmu"