Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Selasa, Mei 05, 2009

Jejak Warisan : Menyingkap Keunikan Adat Perpatih

Bulat anak buah menjadi Buapak
Bulat Buapak menjadi Lembaga
Bulat Lembaga menjadi Penghulu

Bulat Penghulu menjadi Raja


Pada 1-3 Mei 2009, Program Jejak Warisan : Menyingkap Keunikan Adat Perpatih telah berjaya dijalankan di Negeri Sembilan. Program berbentuk 'homestay' ini telah diadakan di Kampung Bukit Tempurong, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kehadiran para peserta Jejak Warisan telah disambut mesra oleh penduduk kampung dan dimulakan dengan acara penyerahan keluarga angkat. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah Majlis Menerangkan Dato' Setia Muda Nizarudin Bin Hj A Kasim, Suku Seri Lemak Pahang, majlis rewang bersama penduduk kampung, sesi dialog menyingkap keunikan adat perpatih, lawatan ke Muzium Diraja Seri Menanti, mandi di Air Terjun Ulu Bendul, lawatan ke Istana Raja Melewar, Istana Raja, Negeri Sembilan dan lawatan ke Rembau Crystal.

Program selama dua hari tiga malam ini telah banyak memberi informasi dan maklumat yang berguna mengenai adat perpatih, banyak pengalaman dan pengajaran yang berjaya ditimba sepanjang program ini dijalankan. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada penduduk kampung yang telah memberi layanan yang begitu baik sepanjang berkampung di Seri Menanti. Semoga program seperti ini akan terus dijalankan pada masa yang akan datang.

'Senikan Caramu, Budayakan Hidupmu'

Sedikit informasi mengenai Negeri Sembilan dan Adat Perpatih.

Negeri Sembilan didirikan daripada 7 buah daerah iaitu Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Rembau, Port Dickson dan Seremban. Negeri Sembilan juga dikatakan disatukan daripada 9 buah negeri kecil yang dikenali sebagai ‘Luak’. Luak-luak ini adalah terdiri daripada Inas, Ulu Muar, Jelebu, Jempol, Gunung Pasir, Sungai Ujong, Tampin, Rembau dan Johol. Daripada sembilan luak ini maka terdirilah Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan ini adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat perpatih ini sebenarnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ‘Perut’, ‘Suku’ dan ‘Luak’. Keturunan yang lahir daripada perempuan iaitu moyang perempuan akan membawa satu unit sosio politik yang dikenali sebagai ‘Perut’. Kebiasaannya hubungan mereka di bawah satu Perut ini agak rapat dan selalunya tinggal dikawasan yang berdekatan. Maka setiap Perut ini pula akan mempunyai seorang Buapak. Apabila Perut yang menjadi keluarga itu bertambah besar dan berkembang maka ia akan membentuk ‘Suku’. Suku pula diketuai oleh seorang yang bergelar Dato’ Lembaga. Pertempatan mereka ini yang mana menjadi suatu kawasan akan dinamakan Luak. Luak bererti suatu unit kawasan pentadbiran yang mana diketuai atau ditadbir oleh seorang yang digelar ‘Undang’. Perlantikan Undang ini biasanya dilakukan oleh beberapa Dato’- dato’ Lembaga.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 Suku yang terdiri daripada:
  1. Tanah Datar
  2. Batu Hampar
  3. Seri Lemak Pahang
  4. Seri Lemak Minangkabau
  5. Mungka
  6. Payakumbuh
  7. Seri Melenggang
  8. Tigo Batu
  9. Biduanda
  10. Tigo Nenek
  11. Anak Acheh
  12. Batu Belang

Adat Pepatih mempunyai beberapa prinsip. Antaranya adalah:
  • Keturunan adalah dituruti oleh atau melalui nasab ibunya. Maka dengan itu, generasi yang lahir akan mengikut suku ibunya iaitu pembawaan suku ibunya.
  • Kediaman adalah dikawasan ibu isterinya. Ini bererti, apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan maka ia akan tinggal di kawasan ibu isterinya dan lelaki ini akan dikenali sebagai ‘semenda’. Kebiasaannya, orang lelaki ini akan mengusahakan tanah isterinya untuk keperluan hidup keluarganya.
  • Perempuan mewarisi pusaka dan saka disandang lelaki. Ini bererti orang perempuan akan mewarisi segala harta pusaka seperti tanah adat. Hanya harta pusaka sahaja yang akan diwariskan dan beberapa harta yang telah dipersetujui manakala pihak lelaki kebiasaannya akan menyandang saka iaitu menyandang jawatan-jawatan tertentu dalam adat.
  • Perkahwinan harus berbeza Perut atau Suku. Ini membawa makna perkahwinan daripada ‘Perut’ atau ‘Suku’ adalah dilarang sama sekali. Ini adalah kerana haknya untuk mewarisi pusaka daripada ibunya akan hilang bagi perempuan manalaka lelaki pula akan hilang haknya dalam menyandang jawatan adat.
  • Orang dari luar boleh menjadi ahli dalam sesuatu suku. Ini bermaksud waris mewarisi boleh membenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara yang dinamakan berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pada asalnya Negeri Sembilan negeri sembilan ini didiami oleh suatu kaum iaitu seperti Jakun, Sakai dan Semang. Mereka ini secara zahirnya hidup seperi orang Badwi iaitu berpindah randah dari suatu kawasan ke kawasan lain. Mereka akan berpindah demi mencari rezeki seperti memburu dan mengutip hasil hutan. Ada juga dikalangan mereka yang sudah mula bertani dengan mencari tanah yang subur.

Dalam abad ke-14 maka orang-orang Sumatera yang berasal daripada Tanah Datar dan Paya Kumbuh, iaitu Minangkabau tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka hingga sampai ke sebuah kawasan bernama Rembau. Setibanya mereka lalu dengan bermastautinlah masyarakat ini sehinggalah berlakunya perkahwinan dengan orang asli di kawasan tersebut. Hasil perkahwinan itu, maka lahirlah suatu generasi yang dinamakan suku ‘Biduanda’. Suku ini lah yang dikatakan suku pewaris asal Negeri Sembilan.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan kerajaan Melayu Johor.

Pada 1773, maka seorang Raja yang bergelar Raja Melewar telah tiba daripada Pagar Ruyung lalu memulakan satu sistem beraja di Negeri Sembilan. Raja ini adalah raja yang dijemput khas oleh beberapa pembesar daripada Pagar Ruyung. Raja ini kemudiannya di tabalkan menjadi raja di Negeri Sembilan. Akan tetapi raja ini tidak diberi gelaran raja atau sultan, ia dinamakan Yang DiPertuan atau Yamtuan.

Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Program yang diadakan oleh penduduk kampung sempena Jejak Warisan.

Setiba di Telapakan Dato' Undang Luak Rembau.

Sewaktu Majlis Menerangkan Dato' Setia Muda Nizarudin,
Suku Seri Lemak Pahang.

Di Muzium Diraja Seri Menanti.

Bergambar bersama panel sesi dialog mengenai adat perpatih.

Di Rembau Kristal.

Tirai April

Bulan April berakhir dengan tamatnya Peperiksaan Akhir Sesi 2008/2009. Semua pelajar UMP terutama ahli Kelab Kebudayaan & Kesenian khususnya telah bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan tersebut. Meskipun masing-masing sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan, aktiviti-aktiviti yang telah dirancang berjaya dijalankan, kesibukan bukan alasan untuk membantutkan kelangsungan satu-satu majlis dijalankan. Namun begitu, aktiviti sepanjang April belum sempat dicoretkan di blog halaman seni dek kerana tak menang tangan menjalankan aktiviti di samping peperiksaan akhir yang belangsung.

Seawal mulanya bulan April, Anugerah Sukan MASUM telah diadakan di Dewan Astana, Hotel MS Garden, Kuantan. Bagi memeriahkan majlis ini, kumpulan-kumpulan di bawah Kelab Kebudayaan & Kesenian telah dijemput untuk membuat persembahan. Kumpulan Orquesta bersama-sama dengan kumpulan Gamelan Astana Sukma bergabung sebagai Bonang The Rythym menyampaikan tiga buah lagu iaitu Mission Impossible, You Raise Me Up dan Medley Luluh/Tapi Bukan Aku. Kumpulan Tarian Kencana Pawana pula membuat persembahan Tarian Overture Dia Datang dan Tarian Sekapur Sireh. Ini merupakan kali pertama penari perempuan daripada Kumpulan Tarian Kencana Pawana membuat persembahan di majlis terbuka. Syabas diucapkan kepada kumpulan yang terlibat.

Program K-Saintis anjuran Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) telah diadakan pada hujung minggu yang sama dan telah menjemput Kumpulan Nasyid Imtiyaz dan Kumpulan Lagu Puisi Syi'ir untuk membuat persembahan bersempena dengan konsert yang dijalankan. Turut membuat persembahan pada konsert tersebut adalah kumpulan nasyid popular tanah air iaitu Rabbani. Acara gilang-gemilang itu diadakan di dataran makmal mekanikal. Sambutan yang cukup menggalakkan oleh pelajar-pelajar UMP.

Kumpulan Teater Senandika pula telah berkampung selama dua hari di Taman Budaya Pahang bagi menjayakan Fiesta Teater Senandika yang buat julung kalinya diadakan. Turut hadir pada majlis perasmian penutup fiesta tersebut adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang. Beliau kagum dengan usaha yang telah ditunjukkan oleh produksi yang terlibat. Fiesta tersebut melihatkan Teater Adaptasi Kerusi sebagai teater terbaik dan Saudara Farani Mustafa diangkat sebagai pengarah terbaik. Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Teater Senandika, semoga program sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang.