Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Selasa, April 07, 2009

Dikir Barat Lagenda Warisan

Pada bulan Mac yang lepas, buat pertama kalinya kumpulan Dikir Barat Lagenda Warisan yang bernaung di bawah Kelab Kebudayaan & Kesenian telah membuat persembahan bersempena dengan Solidworks Competition ’09 yang dianjurkan oleh Mechanical Engineering Professional Student Club ( MECHAPRO ).

Bertempat di blok WDKU2, majlis pada malam tersebut diserikan dengan 2 buah nyanyian dikir barat yang diketuai oleh saudara Muhammad Zaki B Che Md Nor. Dengan kekuatan ahli seramai 23 orang pada malam tersebut, para peserta pertandingan dan penonton terhibur dengan gelagat Tukang Karut dan Tok Juara bernyanyi sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Semoga dengan semangat dan komitmen yang tinggi, kumpulan Dikir Barat Lagenda Warisan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kumpulan-kumpulan lain naungan Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP.


Info Dikir Barat

Sejarah

Cara persembahan dikir barat sentiasa berubah dari masa ke masa. Pada peringkat awal perkembangan iaitu awal tahun 30-an, dikir barat dipentaskan di serambi-serambi rumah dalam upacara perkahwinan dan lain-lain. Tetapi pada akhir tahun 40-an, ia dipersembahkan secara solo iaitu nyanyian dari tukang karut, juara dan awok-awok dari satu kumpulan sahaja. Ataupun dalam bentuk pertandingan dari dua kumpulan. Pada masa itu, dikir barat hanya untuk tujuan hiburan sahaja dan tiada bayaran dikenakan kepada penonton. Pada awal tahun 50-an, ia diadakan secara pertandingan di mana penonton dikehendaki membeli tiket untuk menyaksikan persembahan.

Pasukan dikir barat terdiri daripada 15 orang. Dua orang penting ialah juara dan tukang karut. Bagi persembahan yang biasa, awok-awok dikir barat dikehendaki duduk bersila di dalam linkungan bulatan mengarah ke pembesar suara. Dengan cara ini suara akan menjadi lebih lantang dan dapat didengar dengan jelas. Juara dan tukang karut menggunakan satu pembesar suara sahaja di antara mereka dan biasanya mereka menyanyi di luar bulatan awok-awok tetapi dalam pesta dendang rakyat, bentuk itu telah diubah yang mana awok-awok duduk dalam dua atau tiga deret. Juara dan tukang karut duduk di barisan depan.

Tukang Karut

Tukang karut adalah orang yang paling penting dalam pasukan dikir barat. Tugasnya adalah berpantun dan bersyair dengan cara spontan mengenai tajuk-tajuk yang dipilih untuk persembahan. Satu-satu pasukan boleh memanggil sesiapa sahaja untuk menjadi tukang karut bagi pasukannya asalkan orang itu berkebolehan dalam hal itu.

Juara

Orang yang kedua penting dalam persembahan kerana tugasnya untuk berdikir iaitu menyanyikan pantun-pantun pengenalan kepada tajuk tertentu sebelum tukang karut menyanyikan karutnya berpandukan tema yang dibawa oleh juaranya. Selain itu, ia juga sebagai ketua kumpulan dikir barat . Dia juga menjadi guru , mengajar pantun-pantun yang menjadi suara latar kepada ahli-ahlinya.

Awok-awok

Awok-awok merupakan kumpulan penyanyi korus yang terdiri daripada golongan belia. Istilah awok-awok adalah nama kumpulan anak-anak nelayan yang turun ke laut di bawah pengawasan seorang juragan. Dalam dikir barat, awok-awok adalah di bawah jagaan ketua mereka iaitu juara.

Tugas awok-awok adalah mengikut dan mengulangi beramai-ramai pantun-pantun tertentu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut . kombinasi suara awok-awok yang nyaring dan kuat merupakan suatu yang menentukan kejayaan sesuatu kumpulan dikir barat. Selain dari menjadi kumpulan korus, mereka juga memainkan beberapa alat muzik yang terdiri dari tetawak, sepasang rebana dan sepasang marakas.

1 ulasan:

tunas warisan ukm berkata...

salam ukhwah dari kelab dikir barat tunas warisan ukm...semoga usaha murni anda dalam memartabatkan budaya dikir barat di bumi malaysia tidak ketandusan..

terima kasih..