Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Selasa, Mei 05, 2009

Tirai April

Bulan April berakhir dengan tamatnya Peperiksaan Akhir Sesi 2008/2009. Semua pelajar UMP terutama ahli Kelab Kebudayaan & Kesenian khususnya telah bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan tersebut. Meskipun masing-masing sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan, aktiviti-aktiviti yang telah dirancang berjaya dijalankan, kesibukan bukan alasan untuk membantutkan kelangsungan satu-satu majlis dijalankan. Namun begitu, aktiviti sepanjang April belum sempat dicoretkan di blog halaman seni dek kerana tak menang tangan menjalankan aktiviti di samping peperiksaan akhir yang belangsung.

Seawal mulanya bulan April, Anugerah Sukan MASUM telah diadakan di Dewan Astana, Hotel MS Garden, Kuantan. Bagi memeriahkan majlis ini, kumpulan-kumpulan di bawah Kelab Kebudayaan & Kesenian telah dijemput untuk membuat persembahan. Kumpulan Orquesta bersama-sama dengan kumpulan Gamelan Astana Sukma bergabung sebagai Bonang The Rythym menyampaikan tiga buah lagu iaitu Mission Impossible, You Raise Me Up dan Medley Luluh/Tapi Bukan Aku. Kumpulan Tarian Kencana Pawana pula membuat persembahan Tarian Overture Dia Datang dan Tarian Sekapur Sireh. Ini merupakan kali pertama penari perempuan daripada Kumpulan Tarian Kencana Pawana membuat persembahan di majlis terbuka. Syabas diucapkan kepada kumpulan yang terlibat.

Program K-Saintis anjuran Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) telah diadakan pada hujung minggu yang sama dan telah menjemput Kumpulan Nasyid Imtiyaz dan Kumpulan Lagu Puisi Syi'ir untuk membuat persembahan bersempena dengan konsert yang dijalankan. Turut membuat persembahan pada konsert tersebut adalah kumpulan nasyid popular tanah air iaitu Rabbani. Acara gilang-gemilang itu diadakan di dataran makmal mekanikal. Sambutan yang cukup menggalakkan oleh pelajar-pelajar UMP.

Kumpulan Teater Senandika pula telah berkampung selama dua hari di Taman Budaya Pahang bagi menjayakan Fiesta Teater Senandika yang buat julung kalinya diadakan. Turut hadir pada majlis perasmian penutup fiesta tersebut adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang. Beliau kagum dengan usaha yang telah ditunjukkan oleh produksi yang terlibat. Fiesta tersebut melihatkan Teater Adaptasi Kerusi sebagai teater terbaik dan Saudara Farani Mustafa diangkat sebagai pengarah terbaik. Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Teater Senandika, semoga program sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang.

1 ulasan:

Sengal Ubi berkata...

Jejak Warisan '09 baik punya!