Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Jumaat, Mac 27, 2009

Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul 1430H

Program : Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul 1430H
Tarikh : 14 Mac 2009 / 17 Rabi'ul Awal 1430H
Tempat : Astaka UMP

Seperti kelaziman, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut hari sempena keputeraan Rasulullah S.A.W pada 12 Rabiulawal setiap tahun. Berbagai acara dan aktiviti diadakan bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. Antara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

UMP melalui Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI) dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) dan Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP telah mengadakan Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul 1430H/2009 peringkat Universiti Malaysia Pahang bertempat di Masjid dan Astaka UMP pada 14 Mac 2009 yang lalu.

Kelab Kebudayaan & Kesenian telah diberi kepercayaan untuk menjayakan slot sambutan Maulid Ar-rasul pada sebelah malam iaitu Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul. Menurut Pegawai Hal Ehwal Agama UMP, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok, sambutan Maulidur Rasul diadakan untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

"Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya dan mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya." Manakala Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul pula bertujuan untuk menggerakkan kesedaran hidup beragama di kalangan warga UMP dengan meneladani sunnah Rasulullah S.A.W melalui pelbagai medium kreatif. "Program seumpama ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa sebagai usaha untuk mewujudkan hiburan bermesej murni dan menerapkan nilai teras di kalangan warga UMP ", katanya.

Seramai lebih 500 orang pelajar dan staf Universiti hadir dalam program tersebut. Program bermula seawal jam 10.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak oleh staf dan pelajar UMP. Seekor lembu untuk ibadah akikah disumbangkan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Dr. Rosli Bin Abu Bakar bagi menu jamuan kepada seluruh warga UMP pada jam 6.30 petang.

Aktiviti dimulakan dengan tayangan filem Ar-Risalah yang menceritakan tentang sirah Rasulullah S.A.W di antara waktu Maghrib dan Isyak di masjid UMP. Selepas itu, lebih kurang jam 9.00 malam para hadirin berarak beramai-ramai sambil melaungkan selawat bermula daripada Masjid hinggalah ke Astaka UMP. Aktiviti kemuncak pada malam tersebut ialah persembahan hiburan bermesej yang disertai oleh beberapa kumpulan nasyid dan persembahan teater serta sajak.

Antara kumpulan nasyid jemputan ialah kumpulan Munada dari Kolej Antarabangsa Institut Kemahiran Iiktisas Pahang, kumpulan As-Syifa dari Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad, kumpulan Irsyadi dari Kolej Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah di samping kumpulan nasyid dari UMP iaitu kumpulan Nasyid Imtiyaz. Persembahan pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan kumpulan Teater Senandika, Kelab kebudayaan & Kesenian UMP yang mempersembahkan drama, sajak dan dendangan nasyid.

Diharap Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP akan menjadi sebuah kelab yang disegani dengan pementasan persembahan yang lancar dan mampu menganjurkan program yang diamanahkan dengan sebaiknya.

Turut hadir Naib Canselor UMP, YH Prof. Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim, Pengarah PIPI, Ustaz Zuridan Mohd Daud dan Yang di-pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Mohamad Suffi Kamari

Kumpulan Nasyid Imtiyaz dan kumpulan Teater Senandika

Kumpulan Irsyadi dari KIPSAS


Jumaat, Mac 20, 2009

Seni Dari Pandangan Islam

Seringkali kita mendengar pendapat yang mengatakan kesenian tidak ada kaitan dengan agama Islam malah mengharamkannya secara mutlak. Mereka menyeru ke arah kehidupan yang mengharamkan senyuman di mulut, kegembiraan di hati, menegah perhiasan dan perasaan cinta kepada keindahan dalam apa jua bentuk.Pada hal perkara ini tidak mempunyai asas daripada agama.Mereka beranggapan seni merupakan urusan luar dari Islam. Sebenarnya mereka yang menerima pendapat sedemikian bererti menentang atau menafikan sifat tabi’i alam dan fitrah diri manusia sendiri yang mana perasaan seni yang tumbuh dalam diri manusia merupakan anugerah tabi’i dari Allah yang amat berharga.

Pada diri insan Allah kurniakan jiwa, akal dan indera yang tiap-tiap satu berfungsi dan memerlukan tuntutan–tuntutan yang prrlu dipenuhi bagi kesempurnaan keinsanannnya. Jiwa menuntut kerohanian, akal menuntut keilmuan dan indera menuntut kesenian. Sedang tiap-tiap bidang pula tidak berdiri sendiri-sendiri tetapi bersatu pada puncaknya di lautan intelek dan falsafah mencari kebenaran.

Agama Islam mengharuskan perasaan cinta kepada kesenian dan keindahan. Allah sentiasa menyeru manusia supaya memerhati keindahan yang terdapat dalam alam ini. Tamadun Islam telah menghidupkan pelbagai jenis seni dan seni-seni ini telah berkembang dalam tamadun Islam sehingga menjadi tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang unik dan berbeza dengan tamadun-tamadun lain. Al-Quran menceritakan keindahan langit (Qaf, ayat 6), keindahan bumi yang terbentang luas (Qaf, ayat 7), keindahan kejadian haiwan ( al-Nahli, ayat 6), keindahan ciptaan manusia (al-Taghabun, ayat 3 dan al-Infitar, ayat 7-8)

Islam adalah agama yang berdasarkan realiti kehidupan. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia keseluruhannya sama ada aspek rohani, jasmani, pemikiran ataupun perasaan. Islam menuntut agar unsur-unsur ini dilaksanakan secara keseluruhan dalam skop yang sederhana yang dibenarkan oleh agama iaitu tidak telalu boros dan melampau dan tidak pula kikir dan sempit.

Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan. Din al-Islam meliputi agama kebudayaan, maka dengan sendirinya kesenian merupakan sebahagian din al-Islam. Ia juga diturunkan untuk menjawab fitrah, naluri atau keperluan asasi manusia yang mengarah kepada keselamatan dan kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud : “Wahai anak-anak Adam, pakailah perhiasan kamu ketika waktu sembahyang. Makanlah dan minumlah dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang berlebih-lebihan." Katakanlah “Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan rezeki yang baik.” (al-A’raf, ayat 31-32)

Perhiasan Allah menggambarkan unsur-unsur keindahan yang disediakan oleh Allah kepada hamba-hambanya di samping unsur-unsur manfaat yang terdapat pada makanan yang baik.

Keindahan itu sebahagian dari seni. Ini bermakna Islam tidak menolak kesenian. Al-Quran sendiri menerima kesenian manusia kepada keindahan dan kesenian sebagai salah satu fitrah manusia semulajadi anugerah Allah kepada manusia.Seni membawa makna halus, indah dan permai. Dari segi istilah, seni adalah sesuatu yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia, tidak kira sama ada ia ciptaan Allah ataupun yang dihasilkan oleh fikiran, kemahiran, imaginasi dan perbuatan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu seni adalah nilai halus, indah, baik, berguna dan bermanfaat kepada manusia.

Isnin, Mac 09, 2009

Sehari Bersama Silat Cekak Malaysia

Program : Sehari Bersama Silat Cekak Malaysia
Tarikh : 7 Februari 2009
Tempat : Perkarangan kafetaria KK1


Tanggal 7 Februari yang lalu, unit Silat Cekak Malaysia, Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP telah berjaya menganjurkan Program Sehari Bersama Silat Cekak bertempat di perkarangan payung putih kafeteria KK1.

Program Sehari Bersama Silat Cekak ini adalah salah satu aktiviti tahunan yang dirancang oleh Unit Silat Cekak Malaysia. Biarpun penubuhannya masih baru, Unit Silat Cekak Malaysia telah pun mampu menarik ramai siswa dan siswi untuk terlibat dalam seni mempertahankan diri. Maka, majlis ini adalah satu landasan yang baik untuk memantapkan kesatuan dan kesefahaman antara ahli-ahli persatuan disamping dapat menarik ahli-ahli baru dalam kalangan siswa dan siswi Universiti Malaysia Pahang.

sesi penerangan

pendaftaran ahli baru


Selain itu, tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memperkenalkan lagi Unit Silat Cekak Malaysia kepada kelab-kelab dan persatuan-persatuan yang ada di Universiti Malaysia Pahang ini.

Antara objektif program ini dianjurkan adalah :-

1. Memperkenalkan Unit Silat Cekak Malaysia kepada kelab-kelab dan persatuan-persatuan yang ada di Universiti Malaysia Pahang.

2. Memberi peluang kepada semua ahli unit bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia terjalin serta meneruskan hubungan kemesraan dan keharmonian sesama ahli.

3.Untuk menarik penyertaan ahli-ahli baru dalam kalangan siswa-dan siswi Universiti Malaysia Pahang.
gambar kenangan