Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Jumaat, Mac 27, 2009

Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul 1430H

Program : Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul 1430H
Tarikh : 14 Mac 2009 / 17 Rabi'ul Awal 1430H
Tempat : Astaka UMP

Seperti kelaziman, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut hari sempena keputeraan Rasulullah S.A.W pada 12 Rabiulawal setiap tahun. Berbagai acara dan aktiviti diadakan bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. Antara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

UMP melalui Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI) dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM) dan Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP telah mengadakan Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul 1430H/2009 peringkat Universiti Malaysia Pahang bertempat di Masjid dan Astaka UMP pada 14 Mac 2009 yang lalu.

Kelab Kebudayaan & Kesenian telah diberi kepercayaan untuk menjayakan slot sambutan Maulid Ar-rasul pada sebelah malam iaitu Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul. Menurut Pegawai Hal Ehwal Agama UMP, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok, sambutan Maulidur Rasul diadakan untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

"Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya dan mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya." Manakala Malam Penghayatan Maulid Ar-Rasul pula bertujuan untuk menggerakkan kesedaran hidup beragama di kalangan warga UMP dengan meneladani sunnah Rasulullah S.A.W melalui pelbagai medium kreatif. "Program seumpama ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa sebagai usaha untuk mewujudkan hiburan bermesej murni dan menerapkan nilai teras di kalangan warga UMP ", katanya.

Seramai lebih 500 orang pelajar dan staf Universiti hadir dalam program tersebut. Program bermula seawal jam 10.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak oleh staf dan pelajar UMP. Seekor lembu untuk ibadah akikah disumbangkan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Dr. Rosli Bin Abu Bakar bagi menu jamuan kepada seluruh warga UMP pada jam 6.30 petang.

Aktiviti dimulakan dengan tayangan filem Ar-Risalah yang menceritakan tentang sirah Rasulullah S.A.W di antara waktu Maghrib dan Isyak di masjid UMP. Selepas itu, lebih kurang jam 9.00 malam para hadirin berarak beramai-ramai sambil melaungkan selawat bermula daripada Masjid hinggalah ke Astaka UMP. Aktiviti kemuncak pada malam tersebut ialah persembahan hiburan bermesej yang disertai oleh beberapa kumpulan nasyid dan persembahan teater serta sajak.

Antara kumpulan nasyid jemputan ialah kumpulan Munada dari Kolej Antarabangsa Institut Kemahiran Iiktisas Pahang, kumpulan As-Syifa dari Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad, kumpulan Irsyadi dari Kolej Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah di samping kumpulan nasyid dari UMP iaitu kumpulan Nasyid Imtiyaz. Persembahan pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan kumpulan Teater Senandika, Kelab kebudayaan & Kesenian UMP yang mempersembahkan drama, sajak dan dendangan nasyid.

Diharap Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP akan menjadi sebuah kelab yang disegani dengan pementasan persembahan yang lancar dan mampu menganjurkan program yang diamanahkan dengan sebaiknya.

Turut hadir Naib Canselor UMP, YH Prof. Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim, Pengarah PIPI, Ustaz Zuridan Mohd Daud dan Yang di-pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Mohamad Suffi Kamari

Kumpulan Nasyid Imtiyaz dan kumpulan Teater Senandika

Kumpulan Irsyadi dari KIPSAS


Tiada ulasan: