Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Rabu, Julai 30, 2008

Hari Terbuka Badan-Badan Pelajar UMP 2008

Pada 22 Julai 2008 yang lepas,satu program telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).Program ini,iaitu Hari Terbuka Badan-Badan Pelajar UMP 2008 ini bertujuan untuk mempromosikan Badan-Badan pelajar yang terdapat di UMP kepada mahasiswa-mahasiswi UMP sendiri.Program ini juga bertujuan untuk menggalakkan penuntut-penuntut universiti ini untuk melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan selain daripada melaksanakan tanggungjawab hakiki iaitu menimba ilmu.

Pihak Kelab Kebudayaan dan Kesenian juga dijemput untuk menjayakan program pada malam tersebut.Satu booth pameran telah disediakan bagi tujuan untuk mempromosikan kelab.Kerja-kerja untuk menyiapkan bahan menghias booth telah dilakukan seawal jam 2.00 petang.Manakala kerja-kerja untuk menghias booth kelab pula bermula jam 5.00 petang.Pada pukul 6.20 pula,wakil daripada Kumpulan Tarian Kencana Pawana melakukan persiapan untuk persiapan pada malam tersebut.

Sambutan daripada warga UMP begitu menggalakkan walaupun keadaan cuaca yang kurang mengizinkan di mana hujan lebat bermula lewat petang hingga ke jam 8.00 malam.Namun,ini tidak membantutkan kedatangan warga UMP pada malam tersebut.Di pihak kelab sendiri,pameran yang diesediakan nyata membuahkan hasil apabila masih ada warga UMP yang mendaftar untuk menjadi ahli kelab walaupun tempoh program ini kurang daripada sebulan selepas Malam Gagasan Budaya dianjurkan.Sokongan daripada pihak warga UMP yang tidak putus-putus ini merupakan nadi untuk Kelab kita terus beroleh kemajuan baik dari dalam mahupun luar.Majoriti daripada ahli-ahli baru pada malam tersebut mendaftar di bawah Kumpulan Gamelan Astana Sukma,Kumpulan PSSCM,Kumpulan Seni Silat Gayung dan Kumpulan Orkestra.Program ini berakhir kira-kira pukul 11.30 malam.Pada malam tersebut Kumpulan Nasyid Imtiyaz dan Kumpulan Tarian Kencan Pawana diberi peluang untuk membuat persembahan di samping terdapat juga persembahan-persembahan lain daripada Badan-Badan pelajar lain.

Diharap agar dengan bertambahnya ahli keluarga besar Kelab kesayangan kita ini,semua aktiviti-aktiviti yang telah ataupun yang bakal dirancang oleh Kelab sentiasa mendapat sambutan dan penghormatan oleh semua pihak.Ini kerana penyertaan daripada anda semua dalam mana-mana aktiviti kelab baik besar atau kecil tanggungjawabnya,memberikan impak yang begitu besar kepada Kelab.

Isnin, Julai 14, 2008

Jejak Warisan Perak-Mengungkap Keindahan Gua Tempurung




Seni itu indah.Keindahan itu ada di mana-mana.Sejak mula tamadun manusia wujud sehingga ke detik ini,alam menjadi ensiklopedia yang tidak berpenghujung untuk mencari dan menggali erti keindahan.Alam dan seni jika digabungkan tentunya akan memiliki nilai estetika yang tinggi.Terpanggil untuk menyingkap rahsia alam semulajadi,Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP sanggup meredah ratusan batu jauhnya dari kampus.Bersesuaian dengan tema "Mengungkap Keindahan Gua Tempurung", Jejak Warisan kali ini ke negeri Perak Darul Ridzuan.


10 Julai 2008




Bangkit seawal jam 5.00 pagi.Setelah semua peserta lelaki berkumpul di depan pondok jaga KK2,bas pun sampai dan membawa peserta-peserta ke destinasi yang dituju.Agak lama menunggu di kk2 kerana salah seorang peserta telanjur tidur.Akhirnya bas bertolak keluar dari kampus kira-kira jam 5.50 pagi.Memandangkan masih di awal pagi,semua peserta kelihatan lena dibuai mimpi setelah beberapa minit menaiki bas.Lebih kurang 40 minit perjalanan,bas berhenti di R&R Temerloh.Perjalanan ke negeri Perak diteruskan dengan menelusuri jalan Pahang-Perak melalui Genting Highland ke Tapah.Akhirnya pukul 2.30 petang,bas pun selamat sampai ke destinasi yang dituju.Kedatangan kami disambut oleh Puan Nor Haziah di rumah PUSPANITA ,Teluk Intan.Selepas selesai melepaskan penat lelah,pada pukul 3.00 petang para peserta ke Dewan Bandaran Teluk Intan untuk sesi reherseal.Kebetulan pula pada malam itu PUSPANITA cawangan Hilir Perak mengadakan majlis makan malam amal.Jadi,Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP terlibat secara langsung bagi menjayakan persembahan pada malam tersebut.Majlis makan malam amal bermula kira-kira jam 8.40 malam.Antara persembahan-persembahan daripada Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP pada malam tersebut ialah tarian Selamat Datang,tarian Sireh Pinang,tarian Zapin Semerah Padi,nyanyian lagu tradisional(Nazam Berkasih) oleh Saudari Norshuani,nyanyian lagu Aku Bukan Untukmu oleh Saudari Faizatul Akmal,lagu-lagu puisi seperti Tunjuk Satu Bintang dan Syair Cinta Illahi(ciptaan sendiri) oleh Kumpulan Lagu Puisi Aufa.Selain daripada itu,ada juga persembahan lain seperti persembahan daripada artis jemputan iaitu Zahid AF.Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 malam.

11 Julai 2008

Bangun pagi seawal jam 6.00 am kerana terpaksa menunggu giliran menggunakan bilik air.Kira-kira pukul 7.00 pagi semua peserta menikmati sarapan pagi di Kafeteria Mak Intan.Juadah pagi ialah nasi lemak dan air teh.Selepas itu bertolak ke Gua Tempurung kira-kira jam 8.00 pagi.Setelah 2 jam perjalanan,bas pun tiba di Gua Tempurung.Perjalanan untuk menyingkap keindahan gua ini bermula jam 9.00 pagi.Dijangkakan pakej yang diambil oleh peserta mengambil masa selama 2 jam.Setealh mendengar sedikit taklimat,perjalanan ke dalam gua diteruskan.Cabaran dimulakan dengan meredah anak sungai dalam gua.Kesejukan air sungai begitu terasa.Sepanjang berada di dalam gua,pelbagai rintangan dan halangan yang terpaksa ditempuhi.Boleh dikatakan ekspedisi menyingkap keindahan gua ini agak mencabar.Antaranya,merangkak di celah-celah gua yang berair dan mendaki cerun-cerun di dalam gua yang licin.Selain itu,para peserta juga tepaksa menggelongsor untuk sampai ke satu-satu tempat di dalam gua.Kemuncak ekspedisi di gua ini ialah apabila berada pada satu kawasan yang dinamakan sebagai "Top of the World".Setelah mendaki ratusan anak tangga,para peserta berpeluang melihat dan meninjau keindahan semulajadi yang terdapat di dalam gua.Peserta berpeluang melihat bagaimana rupa stalaktit dan stalagmit yang telahpun terbentuk sejak beribu-ribu tahun yang lalu.Selain itu,terdapat juga formasi-formasi batuan semulajadi yang manyerupai bentuk-bentuk tertenu seperti jantung,tangan dan bermacam-macam lagi.Waktu selama 2 jam tidak terasa dek kerana keindahan gua ini.Pukul 11.00 pagi,kesemua peserta telah pun selamat keluar daripada gua.Keseluruhan peserta nyata begitu berpuas hati setelah melihat sendiri rahsia-rahsia alam yang terdapat di dalam gua Tempurung ini.Difahamkan Gua Tempurung merupakan gua ketiga terbesar di Malaysia selepas Gua Mulu dan Gua Niah di Sarawak.


Destinasi seterusnya ialah Kelli's Castle yang terletak di Batu Gajah.Pembinaan Kelli's Castle ini mirip kepada pembinaan Taj Mahal oleh Shah Jahan.Kelli's Castle juga mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.Di kaunter masuk kawasan ini terdapat seekor ular yang agak besar saiznya.Di samping itu,terdapat sepohon pokok yang pada batangnya trdapat muka mirip seekor beruang.Setiap sudut di Kelli's Castle ini pula menjanjikan foto yang menarik.Setelah selesai melawat Kelli's Castle, kira-kira pukul 2.00 petang,para peserta dibawa ke Pasaraya Jusco yang terletak di Ipoh.Bas bertolak balik ke tempat penginapan kira-kira jam 9.00 malam.


12 Julai 2008

Hari terkahir di negeri Perak.Destinasi seterusnya yang akan dilawati ialah Lata Kinjang.Perjalanan ke sana dimulakan dengan sarapan di Kafeteria Mak Intan.Pada pagi ini peserta disajikan dengan nasi lemak dan kuih muih tradisional.Apa yang menarik ialah,jem yang dibuat daripada durian yang dikenali sebagai lempuk.Bagi yang pertama kali menikmati lempuk,sudah pasti rasanya yang lemak manis terpahat di memori.Perjalan ke Lata Kinjang bermula kira-kira pukul 9.00 pagi.Bas tiba di sana kira-kira jam 11.00 pagi.Keindahan alam semulajadi di Lata Kinjang begitu mempersonakan sehinggakan filem Puteri Gunung Ledang pun dibuat di sini.Aktiviti di sini selain daripada melihat-lihat keindahan landskap semulajadi ialah mandi manda.Memandangkan hujan pada sebelah malamnya,jadi peserta dinasihatkan untuk mandi di kawasan yang paling rendah.Waktu tidak terasa dek kerana keseronokan mandi manda dan menikmati keindahan alam di Lata Kinjang.Jam 2.00 petang,para peserta pun bersiap sedia untuk kembali ke UMP.

Objektif untuk menyingkap rahsia keindahan Gua Tempurung nyata tercapai.Selain daripada itu,kunjungan kali ini ke negeri Perak Darul Ridzuan juga telah berjaya meletakkan Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP ke satu tahap yang lebih tinggi apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan persembahan di luar UMP dan negeri Pahang Darul Makmur.Petanda yang baik ini diharap dapat dikekalkan agar nama Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP dikenali bukan sahaja di Malaysia malahan seantero dunia.















Post - Malam Gagasan Budaya 2008

Malam Gagasan Budaya(MGB) telahpun berakhir. MGB pada kali ini boleh dikatakan merupakan antara kejayaan yang boleh dibanggakan oleh Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP. Mana tidaknya,borang keahlian yang dicetak sebanyak 500 keping telahpun habis diedarkan. Malahan,ada yang terpaksa menulis keahlian di atas kertas kosong. Kaunter pendaftaran yang dibuka selepas selesai persembahan daripada ahli kelab dibanjiri oleh para pelajar sehinggakan tidak menang tangan dibuatnya.

Walaupun bermula sedikit lewat daripada yang dijadualkan,namun persembahan-persembahan yang disajikan kepada para penonton nyata tidak menghampakan. Dimulakan dengan persembahan oleh para pelakon daripada Kumpulan Senandika. Lakonan spontan yang dibuat pada malam itu unik dan berjaya menarik minat para penonton untuk terus menonton dan mendaftar sebagai ahli. Persembahan seterusnya pula disusuli oleh Kumpulan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di mana mereka telah memperlihatkan demonstrasi seni mempertahankan diri serta sedikit penjelasan daripada pegawai-pegawai yang turut serta menjayakan persembahan mereka pada malam tersebut.

Selesai sesi demonstrasi oleh Kumpulan PSSCM, diteruskan dengan Kumpulan Orkestra yang mempersembahkan beberapa buah lagu. Antara lagu yang dimainkan ialah Beautiful Girl dan Menjeling-menjeling. Kumpulan Solid Harmonie pula menyusul selepas itu. Dengan kemantapan vokal yang pelbagai,kumpulan ini mendendangkan beberapa buah lagu seperti Gemilang nyanyian Jac,Maju Gemilang dan lagu patriotik.

Meneruskan acara pada malam tersebut, Kumpulan Gamelan Astana Sukma bersedia untuk mendendangkan lagu-lagu gamelan sepeti Timang Burung dan Semut Merah. Walaupun kesemua pemain-pemain masih mentah tentang seni dan dunia gamelan, namun persembahan pada malam itu cukup untuk membuktikan kebolehan mereka. Jika terus berlatih dan dilatih, nescaya akan menjadi sebuah kumpulan yang disegani di UMP dan di Pahang ini.

Acara diteruskan dengan memperkenalkan barisan Majlis Tertinggi kelab kepada para penonton. Selepas itu, Kumpulan Tarian Kencana Pawana pula mengambil alih persembahan. Pada malam tersebut, mereka hanya mempersembahkan tarian Sireh Pinang sahaja. Seterusnya Kumpulan Kompang Paluan Baidura pula membuat persembahan berupa persembahan multimedia. Disebabkan beberapa masalah, kumpulan kompang tidak berpeluang untuk mendapatkan kompang untuk malam tersebut. Selesai persembahan daripada Kumpulan Kompang, Kumpulan Nasyid Imtiyaz pula membuat persembahan.

Pada tahun ini, satu ahli keluarga baru Kelab telah pun ditubuhkan iaitu Kumpulan Seni Silat Gayung. Persembahan sulung mereka di Astaka pada malam tersebut nyata memberi kelainan. Ini kerana ianya seolah-seolah sebuah persembahan yang berunsurkan seni mempertahankan diri. Persembahan penutup disudahi dengan Kumpulan Lagu Puisi Aufa dengan mendendangkan beberapa lagu termasuklah lagu Tunjuk Satu Bintang.

Kejayaan MGB tidak akan dirasa sekiranya keseluruhan ahli-ahli kelab tidak bertungkus-lumus untuk memastikan kelangsungan MGB pada malam tersebut. Setinggi-tinggi penghargaan kepada individu-individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan MGB. Begitu juga dengan Kumpulan-kumpulan yang bernaung di bawah kelab. Sesungguhnya kumpulan-kumpulan ini merupakan nadi kepada kelab yang sebenarnya. Semoga kejayaan yang kita telah kecapi ini menjadi dorongan agar terus berjaya dalam mana-mana projek yang kita kelolakan.

Khamis, Julai 10, 2008

Malam Gagasan Budaya 2008


Untuk pengetahuan umum, pada malam ini 10 Julai 2008 betempat di Astaka, Universiti Malaysia Pahang akan diadakan Malam Gagasan Budaya. Objektif Malam Gagasan Budaya (MGB) ini diadakan adalah untuk menarik minat mahasiswa-mahasiswi UMP menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kelab Kebudayaan dan Kesenian. Di samping itu, MGB diadakan juga bertuuan untuk memperkenalkan gugusan kumpulan yang bernaung di bawah Kelab ini.

Pada malam ini juga, pengunjung-pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan-persembahan daripada ahli-ahli kelab yang lama. Contohnya persembahan tarian, koir, orkestra, nasyid dan bermacam-macam lagi.

Jadi, mari kita beramai-ramai memeriahkan malam ini dan untuk adik-adik junior, jangan lupa mendaftar.